AFB Feeds

24 October 2017

DARJAH 1 TETAPI MASIH BELUM BOLEH MEMBACA. 6 TIPS UNTUK IBU BAPA

Anak sudah hendak masuk Darjah 1, tetapi masih belum boleh membaca.
Risau bukan ?


Jika zaman 90-an dahulu, kanak-kanak pada umur 6 tahun masih belum boleh membaca merupakan perkara biasa.  Tiada apa yang perlu dibimbangkan.
Tetapi, di zaman yang serba moden dengan gajet ini, kanak-kanak pada usia 6 tahun yang masih belum pandai membaca, sangatlah membimbangkan ibu bapa.  Apatah lagi kalau sudah masuk Darjah 1.

Saya sendiri mengalami situasi yang sama.
Pada awalnya, saya amat bimbang dengan perkembangan membaca Abang Muqharrabin.  Walaupun sudah boleh membaca, tetapi masih belum lancar.  Amat teragak-agak bacaannya.
Jangan terkejut kalau saya katakan di usia 6 tahun, Abang Muqharrabin sudah ke kelas tambahan pada setiap Sabtu untuk belajar membaca.  Tetapi, masih belum lancar membaca.

Makin menggusarkan apabila Abang Muqharrabin menginjak ke Darjah 1 tanpa fasih membaca sedangkan kawan-kawan yang lain sudah 'berhabuk' bacaan mereka.  Saya kasihan tengok dia sebab kadang-kadang dia down dengan diri dia sendiri. 

"Abang kan tak pandai baca."

Seringkali saya mengadu pada bapa saya masalah Abang Muqharrabin.
Jawapannya mudah, "Tak apaaaaaa..nanti dia pandai. Jangan risau."

Sekarang, sudah bulan Oktober 2017.
Semakin baik bacaan Abang Muqharrabin.  Cuma sekali sekala sahaja tersangkut bacaannya pada perkataan-perkataan yang banyak suku kata atau panjang.

Hmmm...akhirnya Abang Muqharrabin sudah boleh membaca.
Walaupun lambat.
Walaupun ketinggalan daripada kawan-kawan yang lain.

Akhirnya saya sedar.
Secara peribadi saya merasakan tidak perlu terlalu bimbang sekiranya anak-anak di usia 6 atau 7 tahun masih belum pandai membaca.  Biarkan mereka belajar mengikut fasa kemampuan sendiri.  Tidak perlu dipaksa.
Walau bagaimanapun, perhatian dan bimbingan yang berterusan daripada ibu bapa amatlah diperlukan.

Nah sedikit tips daripada saya sekiranya ada anak-anak yang masih belum pandai atau lancar membaca pada usia 6 atau 7 tahun.

1.  Latih anak membaca setiap hari.  Di peringkat awal, memadai satu hari satu mukasurat untuk mengelakkan mereka berasa bosan.

2.  Duduk dan baca bersama-sama anak di dalam bilik atau lokasi yang sesuai tanpa gangguan tv atau adik beradik yang lain untuk meningkatkan konsentrasi dan fokus mereka.

3.  Jangan marah dan sentiasa berlemah-lembut ketika membaca bersama anak supaya mereka rasa enjoy membaca bersama anda dan tidak takut.

4.  Pada awalnya, gunakan buku cerita ringkas yang mempunyai warna pada suku kata untuk memudahkan bacaan.  Kemudiannya barulah gunakan buku cerita ringkas yang tidak berwarna suku katanya.

5.  Berikan ganjaran sekiranya dia berjaya tamatkan satu buku cerita ringkas untuk terus menggalakkan mereka membaca.

6.  Puji atau berikan kata-kata semangat setiap pagi sewaktu menghantar anak ke sekolah supaya mereka yakin dengan diri mereka.  Pujian dan kata-kata daripada ibu bapa adalah doa buat anak-anak.

Semoga tips ini membantu :)

Sekian.

No comments:

Post a Comment

Copyright FINA NAWAWI