AFB Feeds

03 July 2018

NASIHAT UNTUK IBU BEKERJAYA CARA MEMILIH TASKA YANG SESUAI UNTUK ANAK

Ibu berkerjaya pasti mahukan anak-anak berada di bawah jagaan yang sempurna dan terbaik ketika mereka bekerja.  Pemilihan taska yang sesuai membolehkan ibu-ibu bekerja dengan tenang tanpa rasa bimbang tentang keadaan anak yang ditinggalkan.  Namun, lambakan taska membuatkan ibu-ibu keliru hendak memilih yang mana satu yang terbaik dan sesuai untuk anak mereka.

Nah, ini saya kongsikan nasihat-nasihat berguna untuk ibu-ibu bekerjaya cara memilih taska yang sesuai untuk anak berdasarkan pengalaman saya sendiri.  


1. Taska hendaklah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

Ini adalah nasihat paling penting yang perlu diberi perhatian ketika hendak memilih taska.  Untuk melihat sama ada taska tersebut berdaftar atau tidak, boleh rujuk Portal Rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat.  Namun, kebiasaannya pemilik taska yang berdaftar akan mempamerkan salinan sijil di dinding ruang taska untuk tujuan marketing secara tidak langsung bagi mewujudkan trust ibu bapa terhadap taska mereka.  Mengapa nasihat ini penting ?  Ini kerana, apabila sesebuah taska berdaftar dengan JKM, taska tersebut adalah tertakluk dengan syarat-syarat dan peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh JKM.  JKM juga akan mengadakan lawatan dari semasa ke semasa untuk pemantauan terhadap pematuhan oleh pihak taska kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan.

2. Lokasi

Ibu boleh buat pilihan sama ada hendak memilih taska yang berhampiran dengan rumah atau berhampiran dengan tempat kerja.  Saya secara peribadi memilih taska yang berhampiran dengan rumah.  Ini kerana pada waktu pagi, kebiasaannya anak-anak lebih moody dan ada kalanya sedikit sukar untuk diurus.  Jadi, pergerakan dari rumah ke taska yang hanya mengambil masa tidak lebih daripada lima minit amat memudahkan saya untuk mengurus anak-anak.  Selain itu, sekiranya saya bekerja di luar pejabat atau pulang lewat, ada orang lain (suami/adik-adik beradik lain) yang boleh mengambil anak-anak dan terus bawa pulang ke rumah dengan mudah.  Terpulang kepada ibu-ibu membuat pilihan.

3. Yuran bulanan yang berkadaran dengan kemampuan semasa 

Yuran bulanan taska antara perkara yang perlu diambilkira bagi memastikan keperluan harian yang lain tidak diketepikan.  Mana tidaknya, yuran taska di bandar-bandar utama seperti Putrajaya dan Kuala Lumpur ada yang telah mencecah sehingga RM550 sebulan untuk seorang anak.  Jadi, pilih taska yang mengenakan yuran bulanan yang berkadaran dengan kemampuan masing-masing.  

4. Nisbah guru kepada kanak-kanak

Sekiranya anak yang dihantar di bawah umur satu tahun, pastikan nisbah guru kepada anak-anak adalah 1 : 3 iaitu seorang guru menjaga 3 orang bayi.  Macam mana nak tahu, kena tanya. Nak tanya pada siapa ?  Tanya pemilik taska, tanya penyelia taska dan tanya guru yang menjaga anak kita. Tidak mengapa bertanya kepada beberapa orang supaya kita dapat jawapan yang sahih. Bila nak tanya ? Tanyalah dari semasa ke semasa.  Untuk anak yang sudah besar sedikit, sepatutnya seorang seorang guru menjaga 5 atau lebih kanak-kanak.  Taska yang berdaftar dengan JKM perlu patuh kepada peraturan nisbah guru dan kanak-kanak ini.  Jumlah kanak-kanak juga perlu berkadaran dengan keluasan taska supaya tidak terlalu padat.  Sebab itu pentingnya untuk mencari taska yang berdaftar dengan JKM.  

5. Persekitaran dan suasana taska

Carilah taska yang mempunyai persekitaran yang bersih, ruang yang luas, tidak dipenuhi dengan perabot, ceria, berhampiran taman permainan kanak-kanak dan tidak sesak dengan kenderaan yang lalu lalang.  Buat lawatan tidak rasmi dengan izin daripada pemilik atau penyelia taska untuk melihat suasana tempat kanak-kanak tidur, bermain dan dapur.  Pastikan juga premis taska disenggara dengan baik dan tidak usang.  Kita sendiri rasa selesakan jika berada dalam persekitaran yang harmoni.  Begitu juga anak-anak kita.  

6. Pengurusan taska yang efisien

Pengurusan taska antara perkara yang boleh memeningkan ibu-ibu sekiranya memilih taska yang mempunyai pengurusan yang teruk.  Saya berpengalaman kehilangan yuran bulanan anak kerana sistem dan rekod pembayaran yuran taska yang lemah.  Jadi, seawal lawatan pertama untuk mendaftar, semak dahulu pengurusan taksa dari pelbagai aspek seperti kaedah pembayaran yuran, pengiraan bayaran jagaan lebih masa (overtime), barang-barang keperluan yang perlu dibawa semasa menghantar anak, aktiviti anak sepanjang hari, penyediaan makanan di taska, menu makanan dan apa saja yang dirasakan wajar dan berhak ditanya oleh ibu.  Selain itu, pastikan taska yang dipilih mengamalkan dasar pintu terbuka untuk ibu-ibu datang mengambil atau melawat anak pada bila-bila masa.

7.  Pemilik taska

Satu rezeki sekiranya ibu-ibu mendapat pemilik taska yang benar-benar mempunyai passion yang tinggi dalam penjagaan kanak-kanak, bukan mengharapkan keuntungan bisness semata-mata.  Jadi, cuba kenali pemilik taska yang dipilih.  Paling penting, pastikan pemilik taska respons setiap soalan yang ditanya walaupun soalan tersebut soalan yang remeh.  

Rezeki anak-anak saya sekarang kerana mendapat pemilik taska yang sangat bertanggungjawab.  Setiap isu, perkara berbangkit atau persoalan semua diambil berat dan diambil tindakan oleh pemilik taska berserta diselesaikan secara win win situation. Saya juga berpengalaman mendapat pemilik taska yang tidak menjawab panggilan saya walaupun setiap hari saya cuba menghubungi beliau atas urusan penting anak saya.  Mesej-mesej saya pula hanya dijawab "akan disemak dengan guru yang menjaga anak puan" dan tiada maklum balas selanjutnya dengan semakan yang dibuat tersebut.
.
.
Setelah buat pilihan terbaik, akhir sekali kita berserah dan tawakal kepada Allah sepenuhnya. Mudah-mudahan anak kita sentiasa dalam perlindunganNya dan dibawah jagaan yang sempurna.

Anak gembira, ibu bahagia.
.
Love,
Fina Nawawi

2 comments:

Copyright FINA NAWAWI