AFB Feeds

05 July 2018

TIPS MEMILIH TADIKA ANAK

Anak-anak akan masuk umur empat atau lima tahun, tiba masanya untuk daftarkan anak ke tadika.  Tapi tidak tahu tadika mana yang sesuai.  Adakah dengan mendaftar anak di tadika elit yang telah sedia popular boleh menjamin anak kita sesuai dan boleh belajar dengan sempurna ?



Baca tips ini supaya anda dapat buat pilihan yang tepat.

1. Modul pengajaran dan kurikulum

Terlebih dahulu, ibu bapa perlu jelas dengan kehendak dan matlamat mereka dari aspek pendidikan anak-anak sama ada mahu mengutamakan pendidikan bercirikan Islam atau mengutamakan Bahasa Inggeris.  Sekarang, terdapat tadika yang mengutamakan pendidikan bercirikan Islam, Bahasa Inggeris atau gabungan kedua-duanya.  Pilih saja ikut keutamaan ibu bapa.  Seterusnya, ibu bapa perlu lihat kurikulum pembelajaran tadika tersebut.  Tadika yang mempunyai francais telah menetapkan modul kurikulum yang seragam dan mempunyai piawaian / garis panduan tersendiri.  Berbeza dengan tadika yang ditubuhkan secara persendirian, kurikulum mereka adakalanya berbeza.  Paling penting, kaji dahulu kaedah yang digunapakai oleh tadika untuk mengajar anak-anak membaca dan mengira, iaitu perkara asas pembelajaran awal kanak-kanak.

2. Yuran bulanan 

Pilihan tadika juga bergantung kepada kemampuan ibu bapa untuk menampung kos yuran tahunan dan yuran bulanan tadika.  Tadika yang mempunyai francais seperti CIC, Brainy Bunch, Real Kids dan sebagainya mengenakan yuran yang jauh lebih tinggi (boleh mencecah sehingga RM700 sebulan termasuk daycare) berbanding taska-taska seperti PASTI, tadika di bawah seliaan JAWI/MAIWP dan sebagainya (yuran bulanan maksimum RM350 termasuk daycare). 

3. Lokasi

Ibu bapa boleh buat pilihan sama ada hendak memilih tadika yang berhampiran dengan rumah atau berhampiran dengan tempat kerja.  Saya secara peribadi memilih tadika yang berhampiran dengan rumah kerana sekiranya saya bekerja di luar pejabat atau pulang lewat, ada orang lain (suami/adik-adik beradik lain) yang boleh mengambil anak-anak dan terus bawa pulang ke rumah dengan mudah.  Walau bagaimanapun, sekiranya tiada tadika yang sesuai berhampiran dengan rumah, tiada salahnya jika pilih tadika yang berhampiran tempat kerja atau di antara laluan ke tempat kerja.

4. Persekitaran dan suasana tadika

Carilah tadika yang mempunyai persekitaran yang bersih, ruang yang luas untuk anak membuat aktiviti dan bermain, ceria, berhampiran taman permainan kanak-kanak, tidak sesak dengan kenderaan yang lalu lalang dan menggunakan perabot yang sesuai untuk kanak-kanak.  Pastikan juga premis tadika disenggara dengan baik dan tidak usang.  Kita sendiri rasa selesakan jika berada dalam persekitaran yang harmoni.  Begitu juga anak-anak kita.

5. Menu dan waktu makan

Ada ibu bapa yang tidak kesah dengan menu dan waktu makan yang ditetapkan oleh pihak tadika.  Pada saya, menu dan waktu makan juga penting bagi memastikan anak sentiasa cergas dan cerdas untuk belajar.  Pastikan menu yang disediakan adalah berkhasiat, sesuai dimakan oleh anak-anak dan mengenyangkan.  Begitu juga dengan waktu makan.  Sewajarnya waktu makan tidak terlalu jauh jaraknya antara sarapan, makan tengahari dan minum petang.
.
Setelah mengetahui tips-tips untuk memilih tadika, anda digalakkan untuk membuat sedikit kajian bagi memastikan pilihan anda adalah yang terbaik untuk anak anda.  Buat carian di Google atau hubungi ibu bapa lain yang pernah menghantar ke tadika yang sama untuk mengetahui keadaan sebenar tadika yang dipilih dari pelbagai aspek seperti kadar turnover guru-guru dan sejauh mana prosedur keselamatan untuk menghantar dan mengambil anak.

Anak gembira, ibu bahagia.
.
Love,
Fina Nawawi

No comments:

Post a Comment

Copyright FINA NAWAWI